SEREMBAN – Jabatan Pertanian menyokong usaha dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menawarkan kepakaran dalam projek penyelidikan makanan alternatif untuk ayam dengan penggunaan hampas kelapa sawit sebagai usaha menstabilkan harga sumber protein itu di negara ini.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hasan berkata, apabila berlaku kenaikan harga dalam komoditi makanan memang ia menjadi isu yang akan dibangkitkan.
“Jadi apa jua yang dicadangkan, kita (Jabatan Pertanian) menyokong selagi ia dapat kurangkan kos pengeluaran tetapi kita perlu buat kajian sama ada ia bersesuaian atau tidak.
“Kalau kajian itu dapat menghasillan produk yang setanding dengan makanan ayam yang asal iaitu soya, jagung dan sebagainya, kita terima dan menyokong sepenuhnya cadangan tersebut,” katanya kepada pihak media pada Program Jelajah Sistem GeoTanaman Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pakar Ternakan Ayam UPM, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus untuk menggunakan hampas kelapa sawit yang mempunyai karbohidrat tinggi dan boleh menggantikan jagung serta kacang soya dalam pembuatan makanan ayam.
Menurut Zahimi, UPM merupakan sebuah badan penyelidik dan universiti awam yang sentiasa menghasilkan teknologi serta inovasi.
“Justeru, apa jua yang boleh membantu dalam meningkatkan pengeluaran bahan makanan bukan sahaja makanan ternakan, kami selaku jabatan menyokong sepenuhnya,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE