PUTRAJAYA – Jika sebelum ini penduduk di garisan Khatulistiwa dapat menyaksikan fenomena ekuinoks, kini selepas seminggu tiba pula giliran beberapa lokasi lain di negara ini untuk merasainya.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, hari ini sahaja warga Lembah Klang antara yang mengalami peristiwa tengah hari tanpa bayang itu mulai pukul 1 tengah hari ini.
“Saya ingin mengajak seluruh Keluarga Malaysia agar turut menghayati fenomena ini,” kata menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Malahan beliau menambah, orang ramai juga digalakkan untuk keluar rumah lebih awal untuk memerhati perubahan bayang-bayang sendiri atau objek lain di sekitar kawasan.
Warga Kuala Lumpur, Putrajaya serta Petaling Jaya dan Kajang di Selangor mengalami pukul 1.19 tengah hari manakala Shah Alam, Klang dan Pelabuhan Klang pula lewat seminit.
Penduduk Sarawak terutamanya yang menetap di Betong, Sri Aman dan Serian selain Kukup di Johor merupakan kumpulan paling awal merasai kejadian unik tersebut pada 23 Mac lalu.
Ini diikuti Kuching, Lundu dan Bau di Sarawak serta Johor Bahru dan Pontian Kechil di Johor keesokan harinya di samping beberapa lagi lokasi di Sarawak dan Johor pada hari berikutnya.
Fenomena tengah hari tanpa bayang itu, ujar Adham, merupakan susulan daripada peristiwa ekuinoks berlaku pada 21 Mac lalu apabila matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa. -KOSMO! ONLINE