KUALA LANGAT – Kadar zakat fitrah di Selangor kekal untuk tahun ini sebanyak RM7.
Pengekalan zakat fitrah adalah bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2007.
Menurut Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd. Fikri Naim Harun, penetapan kadar zakat fitrah itu berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di negeri ini.
“Bagaimanapun, LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.
“Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan,” katanya selepas program sumbangan zakat McDonald’s Malaysia kepada mangsa banjir di sini.
Menurutnya, kadar zakat fitrah bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba ponni, beras wangi adalah sebanyak RM14 bagi seorang individu.
Jelasnya lagi, kadar zakat fitrah RM21 seorang pula bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah. -KOSMO! ONLINE