PUTRAJAYA – Menepati ramalan ramai, Elica Paujin diumumkan sebagai juara musim keempat Big Stage 2022 (BS4) pada pentas akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Elica atau nama sebenarnya Angelica Paujin, 23, membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Dalam persembahannya malam tadi, Elica berjaya memperolehi markah 78.9 peratus daripada para juri.
Pada pentas akhir sebentar tadi, Elica yang merupakan juara Mentor Milenia 2017 mendendangkan lagu Cinta (Marsha Milan) dan lagu Believer (Justin Bieber) duet bersama Hael Husaini.
Kemenangan Elica tersebut sekali gus meletakkan Danial Chuer di tempat kedua dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
Manakala, tempat ketiga pula menjadi milik Aisha Retno sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000.
Tempat keempat dan kelima dimenangi Yazmin Aziz dan Tegar Septian.
Yazmin membawa pulang wang tunai RM15,000 manakala Tegar membawa pulang RM10,000.
Konsert akhir Big Stage yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad menampilkan Ajai, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Alif Aziz sebagai juri.
Presiden Netizen pula kekal dipegang Datuk Seri Vida, manakal Juri Pedas pula ialah Elly Mazlein dan juri jemputan ialah Aina Abdul.
BS4 yang berlangsung selama lapan minggu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123). – KOSMO! ONLINE