KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terpaksa akur gagal merangkul gelaran Terbuka Switzerland 2022.
Soon Huat-Shevon Lai terlepas peluang keemasan itu selepas bertarung sengit dengan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau sebelum tewas 21-12, 18-21, 17-21 pada final di St. Jakobshalle, Basel sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan pertama Soon Huat-Shevon Lai kepada Lamsfuss-Isabel selepas menang empat pertemuan terakhir dengan pasangan di ranking ke-15 dunia itu.
Kekalahan itu juga menyaksikan Soon Huat-Shevon Lai terus kemarau kejuaraan dalam tempoh empat tahun sejak menjuarai Terbuka Singapura dan Terbuka Jerman pada 2018.
Kegagalan Soon Huat-Shevon Lai menyaksikan tiada wakil negara berjaya menjulang gelaran Terbuka Switzerland selepas beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga tewas di pentas final hari ini. – KOSMO! ONLINE