MADRID – Seorang bayi perempuan yang merupakan kembar dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean Section (C-Sect) dengan kantung ketuban yang masih utuh, lapor akhbar Mirror UK.
Kejadian seperti itu dikatakan hanya berlaku sekali dalam setiap 80,000 kelahiran.
Peristiwa yang jarang berlaku itu dikenali sebagai ‘kelahiran bertudung’ atau ‘kelahiran duyung’.
Kantung ketuban adalah kantung nipis berisi cecair yang meliputi janin semasa dalam kandungan dan melindunginya daripada kecederaan serta mengawal suhu supaya kekal hangat. Ia kebiasaannya akan pecah apabila seorang wanita melahirkan anak.
Sepasukan doktor berjaya melahirkan dua bayi kembar itu di sebuah hospital di bandar Vinaros, wilayah Castellon di Sepanyol pada Rabu lalu.
Pakar sakit puan dan obstetrik, Ana Teijelo bertanggungjawab ke atas pasukan perubatan berkenaan bagi memastikan kelahiran itu berjalan dengan lancar.
“Hari ini di Hospital Vinaros kami melakukan pembedahan Caesarean Section (C-Sect) bertudung (kembar ke-2) dan anda boleh lihat keghairahan pasukan kami,’’ kata Teijelo. – Agensi