KABUL, Afghanistan – Berpuluh-puluh wanita dilarang oleh pemerintah Taliban daripada menaiki pesawat kerana tidak melakukan perjalanan bersama penjaga lelaki, lapor akhbar New York Post semalam.
Antara mereka termasuk dua wanita yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul kelmarin yang mempunyai dua kewarganegaraan termasuk dari Kanada, demikian menurut dua pegawai syarikat penerbangan Afghanistan.
Mereka dihalang daripada menaiki pesawat ke Islamabad, Dubai dan Turki menggunakan dua penerbangan milik pemerintah iaitu Kam Air dan Ariana Airline.
Bulan lalu, Taliban melarang wanita Afghanistan melakukan perjalanan melebihi 77.25 kilometer tanpa penjaga lelaki.
Keperluan penjaga lelaki atau mahram termasuk menemani mereka untuk tugas asas seperti memasuki bangunan kerajaan, berjumpa doktor atau menaiki teksi, demikian menurut akhbar Wall Street Journal.
Kelmarin beberapa wanita yang melakukan perjalanan bersendirian diberi kebenaran untuk menaiki pesawat Ariana Airlines ke wilayah Herat. Bagaimanapun, pada masa kebenaran diberikan, mereka telah terlepas penerbangan tersebut.
Sekatan ke atas wanita di Afghanistan itu berlaku hanya beberapa hari selepas pemerintah Taliban memungkiri janji untuk membenarkan gadis kembali ke sekolah selepas darjah enam.
Keengganan Taliban untuk membuka pendidikan kepada semua kanak-kanak Afghanistan menimbulkan kemarahan sebilangan besar penduduk negara itu. – Agensi