PETALING JAYA – “Ini baru betul penyanyi, baru sampai maksud lagu yang dinyanyi, lagi sedap dari penyanyi asal”.
Demikian antara komen yang diberikan oleh orang ramai apabila lagu Ku Ikhlaskan nyanyian asal usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida dinyanyikan semula oleh penyanyi, Ara Johari mendapat perhatian lebih sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Tinjauan Kosmo! di laman Twitter dan YouTube mendapati rata-rata peminat muzik negara memuji nyanyian Ara dan menganggap maksud lagu tersebut jelas dirasai mereka.
Sementara itu, ada juga pengguna yang berseloroh mengatakan lagu tersebut seolah-olah milik Ara berbanding penyanyi asalnya.
“Ini lagu Datuk Vida atau Ara, yang buat nyanyian cover lebih layak jadi penyanyi asal, maaf Datuk, ini hanya pendapat,” ciap Alias Zuki.
“Pergi kelas vokal biar pandai, labur duit belajar nyanyi, baru buat lagu sendiri, bukan labur keluar lagu tapi macam pinjam lagu orang, industri muzik sekarang perlu tapis lagu penyanyi dan kualiti suara, baru boleh setanding antarabangsa,” kata Asyura.
“Alamak, kenapa saya dengar lagu Ku Ikhlaskan lepas Ara Johari buat cover baru rasa lagu sedap, ke sebab muzik video Datuk Vida buat saya lebih terhibur dari fokus maksud lagu, apa-apa memang sedap suara Ara, ini baru penyanyi,” tulis Saidin Roro. – KOSMO! ONLINE