PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa digitalisasi pengguna menjadi alternatif dalam mengadaptasi perubahan gaya hidup norma baharu.
Menurutnya, ia dapat dilihat dengan penggunaan medium dalam talian bagi pelbagai tujuan seperti urus niaga, mesyuarat, malah sesi pembelajaran.
Sehubungan itu, katanya, sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 bermatlamat untuk menggalakkan semua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kesedaran berhubung digitalisasi pengguna dalam semua peringkat Keluarga Malaysia.
“Sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan apabila berlaku sebarang salah laku oleh peniaga.
“Kerajaan telah membangunkan aplikasi ezAdu untuk penyaluran aduan sekali gus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna,” katanya menerusi satu entri di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan ingin melahirkan pengguna yang bijak dan berdaya upaya dan peniaga yang beretika.
Justeru, katanya, pelbagai program kepenggunaan telah dirangka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memperkasakan pengguna.
“Saya mengharapkan agar semua pihak dapat menghayati dan mempraktikkan hak-hak anda sebagai seorang pengguna dalam menjalankan urus niaga seharian,” katanya. – KOSMO! ONLINE