TAPAH – Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan bas di Kilometer 1 Jalan Changkat Sulaiman, Sungkai di sini pagi tadi.
Nahas pukul 9 pagi itu mengorbankan Mohd. Rapinge Rasidi, 72, yang maut akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika bas membawa 10 penumpang itu dalam perjalanan dari Lumut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, bas dipandu lelaki berusia 34 tahun itu bergesel dengan motosikal mangsa yang keluar dari simpang sebelah kiri jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang bas tiada sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE