KUALA LUMPUR – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup bergadai nyawa berlari diatas bumbung perumahan setinggan selama setengah jam bagi meloloskan diri daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Ops Sapu di Pantai Dalam, awal pagi tadi.
Difahamkan, lelaki yang hanya memakai kain pelekat sambil berkaki ayam itu berjaya melarikan diri selepas digempur penguat kuasa JIM.
Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, serbuan itu dijalankan bermula pada pukul 1 pagi dan berakhir 3.30 pagi memeriksa seramai 200 warga asing.
“Hasil serbuan kita berjaya menahan 92 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar melibatkan 47 lelaki, 33 perempuan termasuk 10 kanak-kanak lelaki dan tiga budak perempuan.
“Sesetengah PATI seolah-olah sudah bersedia untuk meloloskan dengan menggunakan lorong tikus dan menyorok di dalam terowong khas,” katanya
Jelas Syamsul, kebanyakan lelaki warga asing bekerja di tapak pembinaan manakala wanita pula menjalankan perniagaan kuih diproses dirumah dan telah tinggal di negara ini hampir 20 tahun.
“Kesemua warga asing telah dibawa ke Depot Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE