PETALING JAYA – Sudah menjadi kebiasaan golongan peminta sedekah akan menjalankan kegiatan mereka di mana-mana kedai makan atau restoran kerana menjadi kawasan tumpuan orang ramai.
Terbaharu, seorang pengguna @abangkeladi berkongsi sebuah rakaman memaparkan seorang warga emas yang dilihat meminta sedekah di sebuah kedai makan.
Namun, apa yang menjadi perhatian adalah tindakan mak cik tersebut yang kurang disenangi kerana rata-ratanya mengatakan dia sering memarahi serta mengherdik pelanggang-pelanggan di kedai makan apabila mereka tidak menghulurkan wang kepadanya.
Dalam pada itu, pengguna yang berkongsi video berkenaan turut menitipkan nasihat kepada orang ramai agar lebih berhati-hati apabila bertemu dengan mak cik tersebut.
“Minta sedekah tak salah, tapi kalau orang tak bagi tak perlu nak marah.
“Tujuan saya ambil video ini bukan nak biadab, tapi kalau jenis memaksa siapa je yang selesa,” katanya menerusi ruang kapsyen.
Sementara itu, ada juga pengguna berkongsi pengalaman mereka ketika bertemu dengan mak cik itu.
“Saya pernah jumpa mak cik ini kat kedai makan, dia datang meja saya minta sedekah, saya senyum sahaja, lepas itu ditariknya kerusi depan saya dan hentak tanda marah, apa la,” ujar Asyikin Annuar.
“Bukan tak nak hulur, tapi hari-hari muka sama, rasanya mereka lagi kaya dari kita yang bekerja, nak minta bantuan orang, belajar adab dengan baik,” kata Mad Noah. – KOSMO! ONLINE