PETALING JAYA – “Sejuk perut ibu wanita ini, lahirkan seorang anak yang terus berbakti dan menjaga ibunya sepanjang masa”.
Demikian antara kata-kata orang ramai apabila melihat perkongsian video memaparkan seorang wanita membawa ibunya dengan meletakkannya di bahagian ruang tepi motosikal roda tiga yang ditunggangnya.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan portal I love Kuala Krai di Facebook, dapat dilihat wanita tersebut memegang sebuah bungkusan sebagai alat melindungi wajah ibunya daripada panas matahari ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Situasi itu sempat dirakam oleh pengguna lain yang berada di dalam sebuah kereta di belakang mereka.
“Tiba di persimpangan lampu isyarat, kereta berhenti di belakang seorang hamba Allah ini.
“Dengan waktu tengah hari, cuaca panas, seorang warga emas terlentang dalam ruang besi macam ini, menyesal aku kerana tidak berhenti tolong masa itu, siapa kenal mereka tolong bagi tahu maklumat pada aku,” tulis perakam tersebut.
Sementara itu, perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai reaksi sedih orang ramai apabila rata-rata pengguna media sosial turut bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka berdua.
“Mungkin tak ada kenderaan lain untuk bawa ibunya, terpaksa membawa naik motosikal seperti ini, moga segala bakti wanita itu pada ibunya dibalas dengan ganjaran pahala serta syurga,” kata Nur Syakila.
“Kalau ada sesiapa yang kenal, marilah kita bantu untuk dapatkan sebuah kenderaan yang lebih selesa untuk keluarga ini, kesian mak cik dalam itu,” ujar Sharil.
“Kalau dapat letakkan payung pada motosikalnya ini pun kira dapat halang mak cik dari panas, semoga Allah permudahkan segala urusan mereka,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE