LIPIS – Kerajaan Pahang bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu yang menyebarkan fitnah kononnya kerajaan negeri mengabaikan kepentingan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan pelbagai cara dan inisiatif pengurusan mengenai hutan dan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Kita komited melaksanakan pengurusan dan pemuliharaan bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) berkeluasan 1.59 hektar dan kawasan berhutan (2.04 hektar) iaitu meliputi 57 peratus keluasan negeri ini.
“Antaranya kerajaan telah melaksanakan pewartaaan HSK, tambahan hutan tadahan air, tanah kerajaan membabitkan persempadanan dengan negeri jiran, iaitu Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dikenali sebagai Sempadan Hijau,” katanya ketika berucap di majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Hutan Simpan Tanum, Sungai Yu dekat sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy setiap projek pembangunan di Pahang dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah meluluskan bebarapa kawasan HSK di Jelai dan Tanum (Lipis) sebagai koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) selain mewartakan hutan simpan di Sungai Ikan, Ulu Telom, Cameron Highlands sebagai HSK.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang menimbang untuk mewartakan kawasan seluas 863.85 hektar di Sungai Yu, Lipis sebagai HSK yang menjadi antara inisiatif menyokong CFS bagi tujuan pemuliharaan flora dan fauna untuk pembangunan sektor ekopelancongan.
“Bagi memperkasakan sektor ekopelancongan dan sumber biodiversiti, kerajaan negeri telah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNG) dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang (MBNP) mengenai dasar umum pemeliharaan, penggunaan, kawalan, pengurusan, pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negara Pahang.
“Kedua-duanya berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan negeri bagi melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, kajian dasar bioteknologi dan melindungi harta intelek khazanah flora dan fauna termasuk aspek promosi dan pengiklanan kawasan ekopelancongan,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, dalam usaha penambahbaikan dan inisiatif pembangunan tersebut, kerajaan negeri telah melancarkan kempen menanam 100 juta pokok di kawasan hutan yang sehingga ini sudah mencapai 3.3 juta pokok ditanam.
“Kerajaan menyasarkan penanaman sebanyak lima juta benih pokok setahun menerusi kempen ‘1 Pokok, 1 Rakyat Pahang’ yang telah dimulakan sejak dilancarkan pada 31 Disember 2020 di Cameron Highlands,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE