PETALING JAYA – Pelbagai gelagat lucu dan kreatif orang ramai dikongsikan di media sosial sehingga tindakan mereka itu mencuri tumpuan pengguna yang lain.
Baru-baru ini, tular sebuah rakaman memaparkan aksi seorang wanita bertindak melompat ke atas tikar yang dibentangkan pada permukaan air sungai untuk tidur telah mendapat lebih sejuta tontonan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @selambayleaf itu, kelihatan wanita tersebut membawa sekali sebuah bantal untuk diletakkan di atas tikar berkenaan.
Lebih mengejutkan lagi, apabila dia telah melompat ke atas tikar tersebut, ternyata wanita berkenaan masih terapung dan tidak tenggelam dalam sungai itu.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai turut mempersoalkan kejadian tersebut.
Malah, ramai yang memberikan reaksi masing-masing.
“Selamat datang ke dunia Fizik, pasti wanita itu hebat dalam subjek Fizik di sekolah,” ujar seorang pengguna.
“Ini yang kita sebut tikar terapung, kalau cerita P. Ramlee ada tikar terbang, zaman sekarang tikar terapung,” seloroh Yahya Samad.
“Macam mana dia boleh terapung, hebat juga tikar RM10 itu, lepas ini aku kena cuba juga dekat parit belakang rumah,” kata Azim. – KOSMO! ONLINE