fbpx

Denda kesalahan hutan RM5 juta dan penjara 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Hassanal menanam dan menyiram pokok pada majlis pelancaran Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Hutan Simpan Tanum di Lipis semalam.

LIPIS – Penceroboh hutan simpan bakal berhadapan dengan tindakan perundangan lebih berat apabila kadar denda maksimum bagi kesalahan hutan dinaikkan kepada RM5 juta manakala hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pada masa ini kadar denda maksimum bagi kesalahan hutan adalah RM500,000 dan hukuman penjara maksimum pula adalah selama tujuh tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, Rang Undang Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 telah dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu setelah mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan sebelum dijangka dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada Julai ini.

“Antara pindaan dalam RUU tersebut ialah dengan memperkenalkan proses penyiasatan awam (public inquiry) sebelum sesuatu kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) diwartakan keluar dan juga penggantian serentak HSK yang diwartakan keluar.

“Di samping itu kadar denda maksimum bagi kesalahan hutan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM5 juta dan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dinaikkan sehingga 20 tahun sebagai langkah pencegahan dan pemuliharaan (hutan),”katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Hutan Simpan Tanum dekat sini semalam.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun ini disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di kawasan Koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) bersebelahan dengan Hutan Simpan Tanum Lipis.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah membentangkan RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi penambahbaikan melibatkan beberapa perkara amalan pengurusan dan pemuliharaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negara ini.

Menurut Takiyuddin, dengan lulusnya RUU tersebut di Parlimen Julai nanti, perundangan hutan negara akan menjadi lebih mantap dalam menangani isu pencerobohan hutan di negara ini.

Justeru beliau berharap semua kerajaan negeri menerima pindaan tersebut menerusi Enakmen Pemakaian masing-masing supaya pelaksanaannya dapat disegerakan.

Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia telah melaksanakan pensijilan pengurusan hutan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) iaitu bagi memastikan produk daripada industri kayu-kayan merupakan sumber yang sah dan mampan.

“MTCS ini juga bertujuan melindungi kawasan tadahan dan kualiti air, memulihara alam sekitar dan mengekalkan kelangsungan sumber daya hutan serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang bergantung kepada hasil hutan.

“Hari ini KeTSA menyampaikan penyerahan Sijil Pengurusan Hutan MTCS kepada kerajaan Pahang yang melibatkan kawasan seluas 1.5 juta hektar HSK dan saya berharap kerajaan Pahang dan negeri lain akan meningkatkan jumlah hutan yang disijilkan selaras dengan amalan pengurusan hutan secara berkekalan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI