TELUK INTAN – Mayat lelaki ditemui selepas lebih 36 jam dilaporkan hilang setelah dia disyaki terjatuh ke dalam Sungai Perak dari Jambatan Sultan Yusuf di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, mayat Kek Kai Chung, 42, dijumpai terapung pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dari jambatan.
Katanya, mayat lelaki terbabit dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 5.25 petang.
“Operasi pencarian masuk hari kedua itu tertumpu pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum mangsa dijumpai terapung oleh anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.
“Mangsa dibawa naik ke tebing namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, orang awam memaklumkan, lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam sungai berikutan penemuan kereta jenis Toyota Avanza tanpa pemandu dalam keadaan enjin dan penghawa dingin masih hidup pada pukul 5.35 pagi.
Pemeriksaan dalam kenderaan tersebut menemui My kad dan lesen memandu milik mangsa pada tempat duduk pemandu. – KOSMO! ONLINE