NEW YORK – Pemain No. 2 dunia, Dominic Thiem menjadi pemain kedua dalam tempoh 71 tahun yang berjaya bangkit menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) walaupun tewas dua set pertama pada aksi final kejohanan itu pagi semalam.
Lebih manis, ia adalah kemenangan Grand Slam pertama dalam karier Thiem, 28, selepas berjaya menewaskan pemain ranking ketujuh dunia, Alexander Zverev 2-6, 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (7-6) pada aksi final di Stadium Arthur Ashe itu.
Bintang tenis Austria itu gembira dengan kejayaan menewaskan Zverev yang merupakan sahabat baiknya ketika kedua-dua pemain tersebut masih lagi menghuni ranking dunia ke-100 pada enam tahun lalu.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan sekarang berdasarkan perjalanan kami berdua dalam gelanggang tenis profesional ini.
“Perseteruan antara kami bermula pada 2014 dan kemudian sekali lagi terjadi dua tahun kemudian. Bagi saya, kami berdua sepatutnya berhak diangkat sebagai pemenang hari ini (semalam),” katanya.
Thiem adalah pemenang Grand Slam Terbuka AS pertama selepas kecundang dua set pertama sejak kali terakhir dialami Pancho Gonzales ketika menewaskan Ted Schroeder pada final edisi 1949.
Sejak itu, tiada aksi final mana-mana kejohanan Grand Slam yang berlangsung lima set sehinggalah Novak Djokovic melakukannya ketika menewaskan Roger Federer pada final Terbuka Wimbledon tahun lalu. – AGENSI