fbpx

Hidung kerbau berair, najis berdarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syukur bersama kerbaunya yang telah mati akibat penyakit Hawar berdarah.

KUALA TERENGGANU – “Kerbau-kerbau itu kelihatan lemah, hidung berair dan najis berdarah sebelum ditemui mati bergelimpangan keesokan paginya.”

Demikian cerita Muhammad Syukur Khamis, 15, yang dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dalam keadaan sugul mengenai 36 kerbau peliharaan bapanya yang mati mengejut akibat penyakit Hemorrhagic Septicemia atau hawar berdarah di Kampung Kubang Bujuk di sini.

Pelajar tingkatan tiga itu berkata, hatinya luluh apabila kerbau-kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 64, yang berusia antara dua hingga lima tahun itu mati sejak Rabu lalu.

“Pada mulanya empat ekor mati diikuti kerbau-kerbau lain termasuk 11 ekor pada hari ini (semalam).

“Saya reda tetapi dalam hati amat sedih sebab menganggap kerbau-kerbau ini seperti sahabat sendiri kerana sudah menjaganya sejak saya berusia enam tahun lagi,” katanya ketika ditemui di kandang kerbau bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini semalam.

Muhammad Syukur berkata, dia juga tidak pergi ke sekolah sejak Rabu lalu kerana fikirannya runsing memikirkan nasib me­nimpa kerbau-kerbau itu.

Dia berharap agar penyakit tersebut tidak akan menjangkiti tiga kerbau kesayangannya iaitu Semek, Tokol dan Along yang kesemuanya berusia kira-kira dua tahun.

“Saya hanya mampu berdoa ­tiada lagi kerbau peliharaan kami mati selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Khamis berkata, ini kali pertama dia mengalami kejadian sebegini sejak lebih 50 tahun mengembala kerbau.

“Kerugian yang saya alami setakat ini dianggarkan hampir RM200,000. Walaupun perit, saya anggap ini ujian buat kami sekeluarga dan sebagai asam garam sebagai penternak kerbau.

“Saya difahamkan sampel darah haiwan yang mati itu telah dibawa pegawai Jabatan Perkhid­matan Veterinar untuk dianalisa,” katanya.

Sementara itu, berita musibah menimpa keluarga Muhammad Syukur mendapat perhatian sebahagian peminatnya yang menziarahinya di kandang kerbaunya untuk melahirkan rasa sedih.

Salah seorang daripada mereka, Hazeera Razali, 29, dari Bacang, Melaka berkata, dia dan keluarganya terus ke kandang kerbau Khamis sebaik me­ngetahui berita sedih tersebut menerusi media sosial.

“Kami yang melancong di Terengganu sejak Sabtu lalu singgah sebentar ke kandang kerbau Muhammad Syukur kerana bersimpati dengannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, penyakit hawar berdarah telah menyerang haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu di sekitar daerah ini dan Marang sejak Ogos lalu.

“Setakat ini, 22 kerbau dan 15 lembu telah disahkan mati akibat penyakit itu sehingga 28 Ogos lalu sebelum dapat dikawal sementara pada hujung bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah memberi suntikan vaksin terhadap 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung di kedua-dua daerah terbabit.

“Haiwan ternakan itu juga tidak dibenarkan dipindahkan ke lokasi lain bagi mengurangkan risiko penularan wabak hawar berdarah itu,” katanya.

Syukur mula terkenal sejak awal tahun lalu selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau sering memenangi anugerah fotografi antara bangsa termasuk yang terbaharu Imej Asia 2020 bagi bulan Ogos bagi kategori Orang/Jalanan oleh Asian Geographic.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI