PETALING JAYA – Pasangan suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di kilometer (km) 458.4 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pasangan itu dilanggar SUV jenis Perodua Kembara berhampiran kawasan rehat dan rawat (RNR) Sungai Buloh pada pukul 7.20 pagi.
“Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 65 tahun manakala isterinya wanita warga asing berusia 57 tahun.
“Kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai dilanggar daripada arah belakang menyebabkan mangsa wanita maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa lelaki pula dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada pukul 3.40 petang tadi.
Tambah beliau, suspek yang merempuh kedua-dua mangsa terbabit sudah ditahan untuk membantu siasatan.
Saksi tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa ditalian 0193318339. – KOSMO! ONLINE