GEORGE TOWN – Pengendali Penang Black Panthers dan Selangor Pistons masing-masing memberi ramalan berbeza sama ada KL Thunder mahupun Johor Tigris yang bakal bergelar juara pada final sepak takraw Piala Juara-Juara di Iskandar Malaysia Studio, Johor malam ini.
Pengurus pasukan Black Panthers, Mohamad Azlee Ahmad Mahiudin ternyata kuat memilih pasukan Thunder setelah melihat hasil gadingan mantap serta pengalaman barisan pemain kebangsaannya.
Pengendali Selangor Piston, Syahril Mohd. Rashid pula meramalkan kemenangan berpihak ke atas Tigris hasil prestasi semasa yang dipamerkan pemain sepanjang aksi perlawanan berlangsung minggu ini.
“Thunder mempunyai keupayaan tersendiri dan keserasian antara pemain. Selain beregu di pentas tempatan dan Sukan Sea, pemain seperti Syahir Rosdi dan Azlan Alias juga mempunyai pengalaman dalam tempoh lama.
“Mereka juga pernah beraksi untuk pasukan Penang Black Panthers. Saya percaya, pengalaman dan keserasian antara mereka mampu dinobatkan sebagai juara bertahan pada Piala Juara-Juara malam ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagi Syahril pula, Tigris yang dibarisi tekong daripada pasukan Liga Premier, Selangor Pistons iaitu Zuhri Zain bersama gandingan Siwatbanchan ternyata mampu mengubah nasib serta kelebihan buat pasukan itu nanti.
“Melihat prestasi semasa, Tigris mempunyai kelebihan dari segi servis dan rejaman daripada perejamnya, Noraizat Nordin yang juga dibantu tekong dan pengumpan.
“Saingan dijangka agak sengit malam ini tetapi daripada segi kelebihan, Tigris dijangka bakal bergelar juara dengan peratusan 60-40 sekali gus berakhir dengan perlawanan double set,” ujarnya.
Harimau Selatan akan bertemu pemenang juara bertahan Piala Juara-Juara, KL Thunder pada pukul 10 malam nanti. – KOSMO! ONLINE