LONDON – Penyokong Everton ditahan kerana membaling botol plastik ke arah pemain Aston Villa di dalam padang ketika mereka meraikan jaringan dijatuhkan hukuman penjara.
Roger Tweedle, 19, mengakui melakukan perbuatan berkenaan sehingga mendatangkan sedikit kecederaan terhadap pemain pertahanan Villa, Matty Cash ketika aksi kedua-dua pasukan tersebut di Goodison Park pada 26 Januari lalu.
Hukuman penjara lapan minggu dan 100 jam kerja sosial dijatuhkan selepas Tweedle dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sefton selain dia juga diharamkan memasuki stadium untuk tempoh empat tahun.
Hakim, Paul Healey mengakui bahawa hukuman penjara itu adalah bukan suatu yang normal untuk kesalahan tersebut tetapi terpaksa dijatuhkan olehnya kerana beberapa sebab.
“Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan penyokong sentiasa bersikap baik termasuk menggunakan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memantau sikap tetapi perkara sebegini masih berlaku.
“Perbuatan anda sangat memalukan dan memberikan kesan kepada nama baik kelab yang anda sokong,” katanya.
Tweedle yang berasal dari Cranehurst Road, Walton turut diarahkan untuk membayar saman £200 (RM1,110), kos £85 (RM471) serta bayaran untuk tabung mangsa kekejaman jenayah £128 (RM710).
Dia turut diarahkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan bakal berada dalam kawalan untuk tempoh tertentu selepas dibebaskan dari penjara nanti.
Tweedle turut dihalang untuk menonton sebarang perlawanan bola sepak, tidak dibenarkan pergi ke bandar di mana perlawanan melibatkan pasukan Everton selain dia juga perlu berada pada jarak satu kilometer daripada Goodison Park bermula empat jam sebelum perlawanan melibatkan kelab itu berlangsung. – AGENSI