PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) bagi melarang individu bawah 18 tahun merokok dan memiliki produk rokok elektronik (vape) akan dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat pada sesi Julai depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, RUU itu kini sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu ini.
Beliau berkata, ia kemudian akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Teknologi.
“RUU itu juga membabitkan larangan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape oleh golongan bawah umur.
“Jika ia itu diluluskan, mereka yang lahir selepas tahun 2005 atau dikenali sebagai ‘Generational End Game’ mungkin tidak lagi dibolehkan membeli produk tembakau atau rokok di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan MyChampion, hari ini.
Setakat ini, Malaysia di tangga ke-72 paling ramai perokok di dunia dengan kadar 22 peratus atau tujuh juta penduduknya selain 10,000 kematian direkodkan setahun akibat komplikasi merokok. -KOSMO! ONLINE