PUTRAJAYA – Data terkini Malaysian Dialysis and Transplantation Registry mendapati seramai 49,111 pesakit menjalani dialisis di Malaysia dengan kebanyakannya secara hemodialisis manakala selebihnya peritoneal dialisis.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dalam masa sama, jumlah pesakit dialisis baharu dianggarkan seramai 8,000 orang setahun dan ketika ini, bilangan pesakit buah pinggang yang sedang menunggu transplan pula adalah seramai 4,722 orang.
Menurut beliau, rawatan terbaik bagi pesakit buah pinggang tahap akhir adalah dengan melakukan pemindahan buah pinggang, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhebatkan kempen pendermaan organ di Malaysia dan mengkaji agar peranan Pusat Sumber Transplan Nasional diperkukuhkan.
“Saya menyeru semua pihak seperti selebriti, atlet negara dan juga ahli politik tanpa mengira fahaman untuk bersama-sama tampil mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dan tampil ke hadapan untuk menjadi penderma organ.
“Pendaftaran ikrar derma organ juga boleh diwujudkan semula bagi memudahkan orang awam mendaftar sebagai penderma organ,” katanya ketika berucap pada pelancaran Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pradialisis di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE