SESETENGAH manusia adakalanya mempunyai kisah percintaan yang luar biasa, tetapi bertambah luar biasa apabila cinta yang dijalinkan itu adalah bersama sesuatu objek yang tidak bernyawa.
Seorang wanita dari Budapest, Hungary mengejutkan baru-baru ini apabila membuat pengakuan bahawa dirinya kini menjalinkan hubungan istimewa dengan sebuah kapal terbang mainan.
Kisah sensasinya turut dilaporkan oleh portal berita Mirror.co.uk, Metro.co.uk dan India Today.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Sandra, 28, itu mengakui dirinya sudah begitu lama tertarik kepada pesawat dan menyukai objek tersebut sejak kecil. Malah, kegilaannya itu berlanjutan sehingga dia menginjak usia remaja dan akhirnya diterima bekerja dalam bidang penerbangan.
“Apabila meningkat dewasa, saya bekerja dalam industri penerbangan supaya boleh dikelilingi pesawat-pesawat setiap hari,” ujar pekerja lapangan terbang itu.
Namun, Sandra tidak pernah menyangka bahawa kegilaannya terhadap pesawat biasa akan menjadikan dia jatuh cinta terhadap objek itu.
Pertemuannya dengan Luffancs yang merupakan sebuah model pesawat plastik membibitkan rasa cinta terhadap objek itu. Luffancs ialah gelaran yang diberikan kepada sebuah pesawat mainan Lufthansa.
Selepas memutuskan hubungan dengan teman lelaki manusianya yang terakhir awal tahun ini, Sandra membeli model pesawat itu pada harga sekitar 600 Euro (RM2,776) dan dia mendakwa amat mencintai Luffancs.
“Saya tidak tahu mengapa saya mencintainya, namun saya amat mencintainya.
“Ia adalah teman sejiwa saya dan saya gembira kerana dapat menatap wajahnya setiap hari.
Akui Sandra, dia akan mengucup pesawat mainan itu setiap pagi dan malam.
“‘Dia’ ialah perkara pertama yang saya lihat pada waktu pagi dan perkara terakhir yang saya lihat pada waktu malam.
“Saya dan Luffancs mempunyai hubungan yang istimewa dan saya tidak akan sesekali merosakkan hubungan itu.
“Saya teruja kerana berpeluang melakukan segalanya bersama Luffancs,” ujarnya.
Biarpun Sandra bekerja dikelilingi pesawat-pesawat lain, wanita itu mengakui tidak akan sesekali berlaku curang terhadap Luffancs.
“Kerja adalah kerja dan saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan hubungan ini,” katanya.
Tambah Sandra, sebelum ini, kesemua teman lelakinya tidak mempunyai masalah atau menghalang Sandra daripada menyukai pesawat. Namun, ia adalah kerana Sandra tidak pernah benar-benar menjalin hubungan dengan sebuah pesawat.
Wanita itu juga mengakui percintaannya dengan Luffancs adalah percintaan terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya. Malah, ia juga jauh lebih baik berbanding mana-mana percintaannya bersama manusia sebelum ini.
Sandra juga berkata dia tidak pasti adakah dia akan kembali menjalin hubungan dengan manusia selepas ini.
“Saya tidak pasti adakah saya akan menjalin hubungan dengan manusia lagi selepas ini.
“Pesawat itu adalah pasangan yang lebih baik, malah saya tahu saya boleh selalu bercakap dengannya,” katanya yang turut mengakui tidak pernah merasai perasaan cinta sedemikian terhadap mana-mana lelaki dan kali ini, dia benar-benar sudah jatuh cinta.