KUALA SELANGOR – Seorang petani yang mendiami rumah uzur ternyata lega apabila mendapat bantuan zakat dari Bank Rakyat bagi membaiki kediamannya itu di Kampung Parit Empat Ban Dua Tanjong Karang di sini.
Rosli Rashidi,50, berkata, rumah pusaka itu dibina hampir setengah abad lalu telah mengalami kerosakan terutama reput di bahagian dinding dan lantainya.
Katanya, situasi itu kadangkala menimbulkan keresahan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dengan rumah itu didiami bersama isteri serta empat anaknya berusia tigga hingga 15 tahun.
“Keadaan kewangan yang terhad membuatkan saya tidak berkemampuan membaiki rumah tersebut.
“Syukur, apabila mendapat bantuan daripada Bank Rakyat dalam secara langsung dapat membantu hidup yang lebih selesa di rumah ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Penyerahan bantuan zakat dari Bank Rakyat bernilai RM19,000 itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Sementara itu, Noh berkata, bantuan berkenaan hanya diberikan kepada golongan asnaf berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Pada tahun lalu, seramai 14 keluarga asnaf telah dibantu baikpulih struktur dan pembinaan rumah baharu,” jelasnya.-KOSMO!ONLINE