BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha perlu digembleng bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah yang boleh dijadikan sumber air alternatif negara.
Beliau berkata langkah itu wajar memandangkan air bawah tanah di negara ini hanya mencatatkan penggunaan tidak sampai tiga peratus meskipun negara mempunyai kapasiti air bawah tanah yang sangat besar.
“Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun, kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.
“Penggunaan air bawah tanah di Malaysia sebenarnya kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain seperti Denmark yang mencapai 100 peratus, Austria (98 peratus), Thailand (80 peratus), China (78 peratus) dan Amerika Syarikat (50 peratus),”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2022 di Taman Awam Bera di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Menurut Ismail Sabri pada masa ini hanya beberapa kawsan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak yang menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air minuman.
Dalam pada itu beliau berkata, Kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung Malaysia (2000-2050) mengesyorkan pembinaan lebih banyak kawasan tadahan untuk memenuhi keperluan bekalan air domestik dan pengairan bagi menampung permintaan sehingga tahun 2050.
Selain itu katanya, kajian itu juga mendapati air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar dan kawasan terpencil dan untuk pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian serta domestik melalui beberapa kaedah dan proses yang bersesuaian.
“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang giat melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pemetaan, pembangunan, pemantauan dan Pembangunan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah.
“Langkah ini bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber konjuntif bekalan air negara untuk kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah, akuifer buatan dan susupan tebing,”katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Dasar Sumber Air Negara (DSAN) yang menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air akan dikaji semula dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air negara.
Jelasnya dasar itu akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan-perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.
“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air,”ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, pada masa ini Jabatan Pengairan dan Saliran sedang melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bera dalam usaha mengurangkan risiko banjir.
Ujarnya, projek yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk di Bera ini boleh dijadikan panduan dan rujukan bagi merancang pembangunan masa hadapan khususnya dalam sistem perparitan yang lebih sistematik dan mampan. -KOSMO! ONLINE