SEBUT sahaja nama Firdaus Wong, ramai yang terus mengenalinya sebagai insan yang tidak jemu-jemu menjalankan aktiviti dakwah di negara ini.
Sebagai figura pendakwah tersohor, beliau tidak dapat lari daripada pelagai rintangan dan cabaran dalam menjalankan amanah untuk menyebarluaskan agama Allah di atas muka bumi ini.
Minggu ini, kolum Wawancara membawakan Firdaus Wong yang memberikan pelbagai maklumat yang selama ini jarang dibangkitkan kepada umum termasuk pernah diugut bunuh, dicaki maki oleh individu yang tidak senang dengan caranya berdakwah.
—————————————————————————————————————————————-
NAMA Firdaus Wong Wai Hung atau lebih dikenali sebagai Ustaz Firdaus Wong sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Merupakan salah seorang pendakwah dan aktivis sosial yang terkenal di Malaysia, tumpuan yang diberikan umum menjadikan beliau kini berada sebaris dengan pendakwah-pendakwah popular tanah air yang lain.
Memeluk Islam pada 10 Ogos 2005 ketika berusia 22 tahun, pengalaman hidup yang dinikmati figura yang kini berusia 39 tahun ini selepas bergelar Muslim dikongsi dengan masyarakat.
Dakwahnya banyak memberi impak dalam kehidupan harian individu, selain kelantangannya bersuara dalam memperjuangkan hak-hak seorang Muslim menyebabkan dirinya begitu disenangi ramai.
Mendekati pendakwa bebas yang juga merupakan Presiden dan pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslim (MRM) ini, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Ustaz Firdaus Wong baru-baru ini untuk mendapatkan pendapatnya dalam banyak perkara berbangkit.
KOSMO! AHAD: Apakah cabaran-cabaran yang ditempuhi saudara bagi menjalankan aktiviti dakwah, terutamanya pada era media sosial yang semakin mencabar pada hari ini?
FIRDAUS: Cabaran terbesar yang dihadapi adalah keyakinan kepada firman Allah dan sabda Nabi s.a.w.
Apa yang kita hadapi dalam kehidupan telahpun dimaklumkan oleh Allah di dalam al-Quran serta Baginda menerusi sunnahnya. Setiap cabaran yang Allah sebutkan itu hadir bersama dengan solusi untuk mengatasi cabaran itu.
Era sebelum dan selepas media sosial, bagi saya cabaran terbesar adalah diri saya sendiri.
Persoalan utamanya, adakah saya mengikhlaskan diri dalam ibadah dan dakwah? Jika benar benar ikhlas, maka apa jua cabaran yang saya hadapi itu hanyalah sunnatullah dan boleh ditempuh dengan ketaqwaan.
Saya tidak begitu risau akan cabaran atau ancaman luaran kerana itu di luar kawalan saya.
Saya mahu menumpukan fokus untuk mengawal sesuatu yang di bawah kawalan iaitu keikhlasan serta perbuatan saya.Perbuatan orang lain di luar kawalan saya.
Sepanjang menjalankan kegiatan dakwah bersama rakan-rakan, apakah bentuk tentangan dan provokasi terbesar pernah diterima daripada pihak-pihak yang tidak menyenangi apa yang saudara lakukan selama ini?
Saya pernah menerima ugutan bunuh, ugutan biasa, kereta disimbah dengan cat, dicaci maki, dihina, diperli dan disindir.
Bagaimanapun, kesemua itu tidak begitu memberikan kesan kepada saya.
Sebaliknya, ia menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja dakwah demi memartabatkan agama Islam.
Pernah tak saudara menerima hinaan, makian dan sumpah seranah daripada pihak-pihak tertentu kerana sesuatu perkara. Bagaimana saudara menghadapi perkara seumpama itu?
Seperti yang dikatakan tadi, saya pernah menerima ugutan bunuh, kereta disimbah dengan cat, dicaci maki, dihina, diperli, bahkan disindir.
Bagaimanapun, saya tidak ‘membenarkan’ kata-kata nista tersebut masuk ke dalam hati dan berpaling daripada mereka yang bersifat buruk seperti itu.
Saya sentiasa mendoakan kebaikan buat mereka untuk berubah dan mendapat hidayah.
Selain itu, saya turut mendoakan agar mereka bahagia dan gembira supaya mereka sibuk dengan kebahagiaan dan kegembiraan itu.
Ini bagi membolehkan mereka tiada masa untuk mencemburui kebahagiaan dan kegembiraan orang lain dengan membuat gangguan.
Saudara merupakan pengasas MRM. Apakah menyebabkan saudara mengasaskannya dan apakah peranan utama yang dimainkan oleh NGO tersebut demi untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini terus terpelihara?
Ya betul, saya merupakan pengasas kepada NGO, MRM.
Visi saya dalam pertubuhan ini adalah mahu menyebarkan ajaran Islam yang haq kepada masyarakat, selain misi memberikan kesedaran tanggungjawab dakwah kepada saudara Muslim yang lain.
Menerusi misi itu, saya mahu melatih lebih ramai pendakwah dan menyediakan platform buat masyarakat untuk berdakwah, selain mereka mendapatkan informasi yang sahih tentang Islam.
Di samping itu, saya juga mahu membuat kebajikan kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Saudara pernah memaklumkan, ada ditawarkan sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan wang jutaan ringgit oleh seorang individu untuk MRM, tetapi menolaknya. Boleh jelaskan sedikit berhubung perkara itu?
Ya, kami di MRM ditawarkan sebuah bangunan di tengah bandar raya Kuala Lumpur oleh seorang kenamaan (VVIP) dan beliau meminta kami untuk membuat projek memberikan makanan kepada gelandangan.
Namun saya mewakili MRM terpaksa menolaknya, kerana memberikan makanan kepada gelandangan bukannya fokus utama kami.
Terdapat NGO lain yang memang fokusnya pada golongan ini. Maka, lebih afdal biarlah pakar yang melakukannya, manakala kami mahu fokus kepada visi dan misi kami di MRM.
Apakah yang menyebabkan golongan mualaf lebih terdorong dan berminat untuk melakukan kerja-kerja dakwah selepas memeluk Islam berbanding umat Islam lain?
Sebenarnya tanggapan bahawa mualaf ini lebih terdorong berminat melakukan dakwah ini kurang tepat.
Ini kerana, ramai yang lahir sebagai Muslim berminat dan sangat aktif dalam berdakwah.
Tidak dinafikan, ada mualaf yang berdakwah. Namun dari segi peratusan, saya masih percaya, mereka yang lahir sebagai orang Islam itu lebih aktif dan lebih ramai dalam menjalankan kerja dakwah.
Kenapa mualaf seringkali nampak seperti lebih ke hadapan?
Ini kerana, mereka bukan Melayu dan dari segi pemakaian, laras bahasa dan nama nampak unik, maka ia sering ditonjolkan media.
Sedangkan hakikatnya, setiap pendakwah mualaf yang masyarakat nampak dikedepankan, saya percaya sekurang-kurangnya ada 50 peratus pendakwah Melayu yang aktif berdakwah.
Setiap mualaf yang anda nampak dikedepankan sebagai tokoh dakwah, percayalah ada ratusan bahkan ribuan individu dilahirkan sebagai Muslim berada di sisi mereka membantu serta menyokong mereka di sebalik tabir menerus sumbangan kewangan serta kepakaran.
Saudara sebelum ini turut aktif dalam aktiviti dikenali Street Dakwah seperti di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap aktiviti tersebut?
Pada awalnya, Street Dakwah adalah satu aktiviti yang janggal dan pelik pada pandangan masyarakat, kerana perkara yang baharu selalunya akan mengambil masa untuk orang menerimanya.
Dari aktiviti Street Dakwah sebulan sekali, kami tingkatkan frekuensi kepada setiap minggu.
Semakin ramai individu serta NGO berminat dan terlibat dengan Street Dakwah kerana mudah dilaksanakan dan sangat berkesan meningkatkan skil komunikasi dan berfikir sebagai seorang pendakwah.
Setiap perjalanan dakwah pasti ada yang menerima, tetapi majoriti menolak.
Alhamdulillah, kini majoriti institusi agama di Malaysia mempunyai program Street Dakwah mereka sendiri.
Adakah aktiviti seperti itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang memandangkan ia dilihat sebagai salah kaedah terbaik memperkenalkan Islam kepada anggota masyarakat di luar sana?
Street Dakwah merupakan antara uslub dakwah dan bukannya satu satunya cara berdakwah.
Selain Street Dakwah, kami di MRM banyak memfokuskan kepada menjawab salah faham dan serangan terhadap Islam menerusi penulisan artikel dan video.
Kami di MRM juga sedang dalam fasa memulakan projek terbaharu untuk mengimbangi dan meneutralkan Islamophobia di Malaysia dengan mewujudkan satu portal berita pelbagai bahasa.
Mungkin ramai tidak mengetahui saudara pernah mewakili skuad bola sepak kebangsaan Bawah 20 tahun (B20) dalam Kelayakan Piala Asia B20 pada 2002. Boleh ceritakan serba sedikit mengenainya dan apa pengalaman berguna dapat dikutip daripadanya?
Ia merupakan satu kebangaan kerana terpilih mewakili pasukan kebangsaan dan menjadi satu- satunya pemain kaum Cina dalam pasukan negara.
Saya tidak sangka sekali lagi terpilih mewakili negara pada 2002 setelah kali terakhir mewakili Malaysia bawah 17 tahun pada 1998.