fbpx

Gaduh sebab provokasi dua penyokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar pergaduhan antara dua penyokong bola sepak yang tular di Facebook.

SHAH ALAM – Kes pergaduhan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan di sebuah padang bola yang tular di laman sosial Facebook adalah berpunca daripada provokasi dua penyokong pasukan berlainan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam, Selasa lalu.

Katanya, semasa kejadian berlangsung perlawanan akhir liga bola sepak tempatan di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning, U10 Bukit Cherakah di sini.

“Pergaduhan berlaku apabila seorang penyokong wanita berusia 21 tahun telah membaling tong sampah dan terkena salah seorang penyokong berlainan.

“Punca pergaduhan adalah disebabkan provokasi antara kedua-dua belah penyokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan antara kedua-dua pihak susulan pergaduhan berkenaan.

Tambah Baharudin, kes telah dapat diselesaikan dengan cara baik dengan kedua-dua belah pihak berdamai.

“Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan terhadap video yang viral tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana individu adalah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video yang viral ini,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 32 saat di laman facebook yang dimuat turun oleh pemilik akaun ‘Kau ninggal Jela’ yang memaparkan pergaduhan antara remaja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI