fbpx

Dua lelaki dicekup halang ambulans hantar pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang suspek dan van yang digunakan seorang lagi suspek yang menghalang laluan ambulans.

KLANG – Tindakan dua lelaki bertindak ala samseng jalanan yang tular menghalang laluan sebuah ambulans menghantar pesakit dialisis membawa padah apabila dicekup hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 53 tahun ditangkap pukul 4 petang sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penangkapan mereka susulan laporan dilakukan pemandu perkhidmatan ambulans tersebut pukul 2.23 petang semalam terhadap dua buah kenderaan termasuk motosikal yang menghalang ambulans berkenaan.

Katanya, semasa kejadian ambulans itu sedang membawa pesakit dialisis ke Hospital Sri Kota di sini.

Insiden itu tular menerusi video berdurasi dua minit 22 saat di laman sosial Facebook.

“Berdasarkan siasatan mendapati, ambulans itu telah diekori rapat dari rapat oleh sebuah van jenis Toyota Hiace warna putih sewaktu melalui kawasan Jalan Tepi Sungai Klang.

“Pemandu ambulans kemudiannya telah menegur pemandu van tersebut dengan menggunakan pembesar suara agar menjarakkan kenderaan.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss warna biru telah menghentikan motosikalnya di hadapan ambulans tersebut dan menghalang pergerakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, suspek kemudiannya telah turun dari motosikalnya dan menghampiri pintu bahagian pemandu dan mengarahkan pemandu untuk turun dari ambulans.

Ujarnya, pemandu ambulans itu bagaimanapun terus mengundurkan kenderaan bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini.

“Pada masa masa, van yang mengekori ambulans telah berhenti di tepi ambulans tersebut.

“Pemandu van terus mengelak kedua-dua kenderaan dan meneruskan perjalanan ke hospital,” katanya.

Hoong Fong menjelaskan hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

“Permohonan reman terhadap dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Klang, esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam dan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan halangan salah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI