fbpx

Polis tumpaskan Geng Naidu aktif samun, pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua, kanan) menunjukkan barang rampasan selepas sidang akhbar tangkapan kes pecah rumah, samun dan tanaman pokok ganja di IPD Petaling Jaya di sini, hari ini. FOTO : FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA – Polis menahan enam lelaki ‘Geng Naidu’ disyaki terlibat dengan kes jenayah samun dan pecah rumah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Damansara di sini pada 3 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 27 Februari lalu kira-kira pukul 1.15 petang polis menerima laporan dari seorang lelaki warga asing berumur 33 tahun.

“Suspek dua lelaki warga asing mengetuk pintu rumah dengan kuat mengarahkan pengadu membuka pintu rumah untuk dibuat pemeriksaan.

“Semasa di dalam rumah suspek telah mengambil pasu dari dapur dan mengacukannya kepada pengadu dan rakannya,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, suspek telah mengambil tiga buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,050 milik penghuni rumah dan terus melarikan diri dengan anggaran kerugian kira-kira RM3,800.

“Bertindak atas maklumat, pada 3 Mac lepas pukul 4.30 pagi pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Damansara, di sini.

“Hasil pemeriksaan, polis telah menahan dua suspek warga asing berusia lingkungan 30 dan 41 tahun serta turut merampas tiga buah telefon bimbit yang disyaki hasil samun dan senjata sebilah parang yang disyaki digunakan pada 27 Februari lalu,” ujarnya.

Tambahnya, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek terbabit telah memandu arah kepada tangkapan terhadap seorang lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan di kawasan Petaling Jaya.

“Pemeriksaan terhadap kesemua suspek telah membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki hasil kegiatan samun dan pecah rumah yang disimpan dalam sebuah kereta jenis Perodua yang diletakkan dalam kawasan berdekatan tempat serbuan.

“Turut dirampas komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, peralatan pertukangan serta sebuah kereta jenis Perodua Alza,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI