WALAUPUN tempoh berada di Malaysia tidak begitu lama, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon sedar betapa istimewanya perlawanan antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Singapura malam ini.
Daripada sejarah perseteruan kedua-dua pasukan, jurulatih dari Korea Selatan itu juga mengakui hanya kemenangan yang didambakan oleh penyokong Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, status persahabatan ini tidak meletakkan Pan-gon dalam situasi terdesak kerana keutamaannya adalah membina asas kukuh sebelum menghadapi aksi lebih getir pada kelayakan Piala Asia 2023, Jun nanti.
“Perlawanan ini beri peluang untuk kami melihat kemampuan pemain dan pastinya ia sesuatu yang cukup bagus. Saya tahu tentang perseteruan kedua-dua pasukan dan pastinya keputusan juga cukup penting buat kami.
“Tetapi target kita adalah untuk hadapi kelayakan Piala Asia 2023 dan kami perlu ada satu asas yang kukuh,” katanya pada sidang akhbar atas talian semalam.
Walaupun tidak memiliki tempoh lama untuk melatih pasukan, Pan-gon yang mula dilantik Januari lalu jelas sudah pun berjaya menghadirkan perubahan dan mahu pasang impian rentak cemerlang pada aksi menentang Filipina, Rabu lalu dapat diteruskan lagi.
Dalam masa sama, Pan Gon juga seakan memberi bayangan yang beliau mahu para pemainnya segera melupakan kemenangan 2-0 ke atas Filipina kerana Singapura bakal menjadi ujian dan pembuka episod baharu kepada perjalanan Harimau Malaya.
“Kita tahu Singapura akan jadi lawan yang lebih sukar, namun kami ada objektif sendiri,” katanya.
Pada aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Malaysia, Jun nanti, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.