LOMBOK – Beberapa pelumba menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung keadaan trek di Litar Antarabangsa Mandalika pada perlumbaan Grand Prix (GP) Indonesia Ahad lalu.
Antara yang menyuarakan kebimbangan adalah pelumba pasukan Suzuki, Alex Rins yang menyifatkan perlumbaan hari itu mungkin membahayakan nyawa mereka sekiranya berlangsung dalam keadaan kering.
Menurutnya, permukaan trek pada selekoh terakhir litar seolah-olah berlubang sehingga menimbulkan keraguan sama ada mereka boleh menghabiskan perlumbaan ataupun tidak meskipun jumlah pusingan sudah dipendekkan.
“Saya tidak pasti sama ada kami boleh berlumba ataupun tidak jika cuaca kering kerana keadaan trek sangat berbahaya. Pada selekoh terakhir, permukaan trek seperti terkopak.
“Walaupun berlumba dalam keadaan litar basah tetapi kami masih dapat rasa permukaan trek seperti ‘menghentam’ badan, cuba bayangkan jika keadaan kering. Nasib baik tidak ada sesiapa tercedera,” kata Rins.
Pelumba Sepanyol itu juga mendedahkan, ada batu-batu kecil yang memasuki sut sehingga dia menggesa pengurusan litar supaya mengambil tindakan segera berhubung perkara tersebut.
“Apabila saya membuka sut selepas perlumbaan, dada saya dipenuhi dengan batu-batu berwarna hitam. Mereka perlu baiki dengan kadar segera kerana ia sangat berbahaya,” ujarnya. – AGENSI