MOMENTUM perjalanan sebagai aktres popular yang dahulunya rancak sehingga meledakkan nama Fazura di persada seni tanah air kini semakin memudar.
Transisi hidupnya mula berubah selepas dia mendirikan rumah tangga bersama Fattah Amin sekitar 2017. Berkahwin boleh diibaratkan sebagai satu titik perubahan yang mengubah garis kehidupannya selaku aktres terkenal.
Semakin hari, prioriti aktres jelita itu berubah terutama selepas sayap bisnesnya melebar sehingga ada yang mula meluahkan rasa rindu menonton lakonannya dalam televisyen.
Tidak sesekali melupakan kerjaya yang mula-mula membawa namanya ke persada, wanita manis yang mesra disapa sebagai Faz itu menjelaskan minatnya dalam bidang lakonan masih menebal tetapi segala-galanya bergantung terhadap jenis watak yang ditawarkan.
Memilih watak
Mengakui rasa rindu terhadap dunia lakonan masih menebal dalam diri, aktres berusia 39 tahun itu meletakkan syarat pada dirinya untuk setiap watak yang ingin dijayakan selepas ini.
“Sejujurnya memang rindu nak berlakon tetapi setakat ini tawaran yang saya dapat tiada lagi yang berjaya menambat hati ditambah pula sangat seronok berniaga ketika ini.
“Kebanyakan drama berkisarkan cinta tiga segi atau ada adegan berebut lelaki yang bagi saya, tiada manfaat,” tuturnya selepas majlis Baroqah Jumaat dan pelancaran koleksi telekung Fazura X Muhaya baru-baru ini.
Mengakui banyak menerima tawaran berlakon, namun anak kelahiran Pekan, Pahang itu terpaksa menolak kerana sering mendapat watak yang sama.
Bagaimanapun, dia sedar, jalan cerita dan watak sebegitu antara yang paling digemari ramai pada hari ini.
“Memang dapat banyak tawaran berlakon tetapi saya tak nak lagi membawa watak yang berkonsepkan cinta bersegi atau melakonkan adegan merebut lelaki. Kita sebagai wanita tak perlu buat perkara sedemikian.
“Tetapi saya sedar dan tahu ramai penonton kita yang suka jalan cerita sebegitu sebab sangat ringan.
“Cuma secara peribadi, saya dah kerap memegang watak sedemikian. Jadi saya tak mahu membawa watak yang sama,” tuturnya lagi.
Mahu memperjuangkan isu wanita dalam setiap karya lakonannya, pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu memaklumkan akan muncul dalam sebuah drama berkonsepkan islamik tidak lama lagi.
“Insya-Allah, pada tahun ini ada satu tawaran yang berjaya menambat hati saya iaitu sebuah drama yang membawa konsep islamik.
“Jalan ceritanya memartabatkan hak kaum wanita yang sudah lama saya idamkan selama ini.
“Saya berasa sangat teruja kerana ini adalah hadiah kepada peminat yang telah lama menanti dan rindukan lakonan saya,” katanya.
Anak, diet
Jika berbual bersama pelakon yang terkenal menerusi filem Pisau Cukur itu, soalan mengenai menambah cahaya mata pasti tidak terlepas dilemparkan kepadanya.
Jika sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat untuk mendapat berat badan ideal sebelum menimang cahaya mata kedua, kini impian tersebut sudah berjaya direalisasikan.
“Jika bercakap tentang tambah anak, memang ada tetapi buat masa ini memang sibuk sangat.
“Kami tak merancang tetapi terima jika Allah berikan rezeki tambahan pula usia pun sudah semakin meningkat. Insya-Allah jika Tuhan permudahkan jalan untuk berikan adik buat Fatimah,” ujarnya.
Berkongsi tentang rutin diet, berat badannya pernah mencecah sehingga 76 kilogram (kg) ketika mengandungkan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia setahun lima bulan.
“Ketika hamil, saya mendengar nasihat orang sekeliling yang menyuruh makan mengikut nafsu bagi mendapatkan bayi comel dan gebu. Minuman kegemaran pula Milo ais tabur. Boleh dikatakan setiap hari saya minum.
“Selepas bersalin pula, saya mengambil masa yang lama untuk menurunkan berat badan tetapi akhirnya berjaya mendapat berat ideal iaitu 54kg. Tiada jalan pintas, saya perlu menjaga pemakanan dan mencuri masa untuk bersenam,” kongsinya teruja.
Tidak lokek berkongsi tip diet, pelantun lagu Hancur Aku itu memberitahu dia tidak makan pada waktu malam dan hanya menjamah buah-buahan sekiranya lapar.
“Pada sebelah pagi, saya minum air kosong bersama lemon, manakala tengah hari saya ambil hidangan berat seperti nasi dan sebagainya.
“Waktu terakhir saya makan ialah pada pukul 6 petang. Jika selepas itu ada rasa lapar, saya jamah buah sahaja,” tuturnya sambil tersenyum lebar.
Bisnes berkembang
Sementara berbicara tentang bisnes, Fazura bersyukur kerana telah membantu ramai kaum hawa khususnya golongan suri rumah menjana pendapatan sampingan.
“Alhamdulillah rezeki dalam bidang perniagaan memang mencurah. Tak sangka sambutan yang diterima sehebat ini. Benarlah orang kata, perancangan Allah memang indah hasilnya.
“Kejayaan jualan tudung yang berjaya diraih sehingga tular baru-baru ini turut membuktikan tanpa gimik murahan juga produk yang dijual boleh laris,” ujarnya.
Masih kekal dengan prinsip menjual produk dengan harga mampu milik, Fazura sentiasa meletakkan dirinya dalam situasi pembeli dan tiada sekelumit niat pun mahu mengaut keuntungan daripada hasil jualan.
“Saya nak keluarkan produk yang sangat berkualiti tetapi mahu semua orang mampu memakainya. Jadi, saya mahu produk jenama saya dimiliki oleh ramai orang khususnya kaum wanita,” tutupnya.