SUMBANGAN. Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menyampaikan bungkusan bubur asyura untuk para petugas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Imigresen, Kastam, Polis Diraja Malaysia dan Klinik Kesihatan Laka Temin di pintu masuk sempadan Malaysia–Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah baru-baru ini.
Dekan Pembangunan Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin bersama Pengetua Inapan Siswa Tradewind dan Proton, Dr. Rohafiz Sabar dan beberapa staf mengagihkan bubur asyura buat petugas barisan hadapan.
‘Walaupun sumbangan ini kecil tetapi bagi kami amat besar bila melihat peranan dan sumbangan barisan hadapan negara yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan negara terutama ketika wabak Covid-19 melanda dunia dan negara,” katanya ketika menyampaikan sumbangan itu.
Dalam pada itu Rohafiz berkata, lebih 100 bungkus bubur asyura telah diserahkan kepada petugas Aksem dan juga warga JHEP kampus itu.
Katanya, bubur itu disediakan oleh staf, pelajar antarabangsa dan beberapa petugas unit pembersihan secara gotong-royong menggunakan resepi tradisi.