WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran bahawa kekurangan bekalan makanan akan berlaku di seluruh dunia disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Menurut Biden, perkara itu akan menjadi satu kenyataan yang perlu dihadapi semua pihak kerana Rusia dan Ukraine adalah penyumbang utama makanan ruji di Eropah seperti gandum.
Keselamatan makanan termasuk bantuan kemanusiaan am adalah salah satu topik utama mesyuarat tergempar yang dihadiri Biden dan pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), dan G7.
“Kami sedang dalam proses bekerja dengan rakan-rakan Eropah mengenai apa yang diperlukan untuk membantu mengurangkan kebimbangan berhubung kekurangan makanan.
“Kami juga bercakap mengenai pelaburan besar AS antara lain dari segi menyediakan keperluan untuk bantuan kemanusiaan termasuk makanan semasa kami bergerak ke hadapan,” kata Biden.
Ukraine adalah sebuah negara pertanian yang kaya dengan hasil gandum musim sejuk, barli musim bunga, dan jagung sebagai antara tanaman utamanya.
AS melalui inisiatif Feed the Future, akan menyediakan lebih AS$11 bilion (RM46 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menangani ancaman keselamatan makanan dan kekurangan zat makanan di seluruh dunia.
Dana Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Pertanian (IFAD) memberi amaran bahawa perang di Ukraine sudah mengakibatkan kenaikan harga makanan dan kekurangan tanaman ruji di Asia tengah, Asia Barat dan Afrika utara.
Rusia juga merupakan salah satu pembekal baja terbesar di dunia. Krisis yang berlaku menyumbang kepada kenaikan 30 peratus harga makanan dunia.
EU mencadangkan pakej bantuan sebanyak AS$549 juta (RM2.3 bilion) untuk membantu pengeluar makanan di blok 27 negara itu dalam mengurangkan impak ekonomi akibat perang di Ukraine.
Walaupun EU tidak menghadapi kekurangan makanan serta-merta, rantau itu merupakan pengimport bersih komoditi tertentu termasuk tanaman makanan dari Ukraine.
Selain itu, petani Eropah sangat bergantung kepada baja Rusia untuk menanam tanaman mereka. – Agensi