fbpx

TH jalin kerjasama dengan Saudia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia Airlines (Saudia) menandatangani Penerimaan Tawaran Penerbangan Haji bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji bagi jemaah haji Malaysia bagi bagi tempoh tiga tahun bermula pada 2022 hingga 2024.

Penerimaan tawaran itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Saudia, Ibrahim Koshy manakala TH pula diwakili Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bertempat di Jeddah Superdome, Arab Saudi yang turut disaksikan Ketua Pengarah Saudia, Eng Ibrahim Al Omar.

Syed Saleh berkata, TH merupakan satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Tawaran kepada Saudia untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji untuk jemaah haji Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Penyediaan penerbangan sewa khas Haji ini adalah usaha berterusan TH dan merupakan salah satu persediaan awal TH untuk membawa jemaah ke Tanah Suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ibrahim memberitahu, sebanyak 50 peratus Jemaah Haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Saudia secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah.

Jelas beliau, Saudia memberi perhatian besar terhadap sektor haji dan umrah yang mana satu jabatan telah ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat jemaah.

“Saudia akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan dan pengalaman haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI