JOHOR BAHRU – Polis Johor telah mengambil keterangan seramai 11 individu yang terlibat dalam isu konvoi kereta mewah yang menghalang laluan di Kilometer 34, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara yang turut diambil keterangan termasuklah pemandu kenderaan Ford Ranger yang merupakan seorang wanita berusia 28 tahun.
Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan hampir selesai dan ianya akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk langkah selanjutnya.
“Berhubung kes melibatkan konvoi kenderaan mewah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu, kita sudah selesai mengambil keterangan kesemua pihak terlibat.
“Buat masa ini siasatan dijalankan melibatkan tiga elemen iaitu kerana merusuh, menghalang lalu lintas dan pemandu pacuan empat roda berkenaan ada buat laporan polis mengatakan dia dipukul dan ditumbuk, itu pun kita siasat,” katanya.-KOSMO! ONLINE