KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga Pakistan yang dilaporkan hilang ditemui lemas di Sungai Klang berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Tun Sambanthan, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian pada pukul 12.09 tengah hari.
“Seramai 18 anggota bersama tiga jentera serta empat kayak dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis memaklumkan terdapat dua lelaki warga Pakistan lemas di sungai tersebut,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kuala Lumpur di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Jelasnya, mayat pertama dijumpai pada pukul 4.07 petang berhampiran Masjid Jamek Petaling pada jarak enam kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa kedua pula ditemui pukul 4.10 petang di aliran sungai Lorong 4, Kampung Tengah iaitu 12 km jarak dari lokasi dilaporkan hilang dengan bantuan pasukan bomba dari BBP Puchong,” katanya.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE.