PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah berkaitan tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi usahawan-usahawan tani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan kerajaan berkaitan perkara tersebut dicapai pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang berlangsung hari ini.
Pada mesyuarat tersebut, perbincangan dilakukan adalah melibatkan pembentangan-pembentangan oleh MAFI, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.
“Kerajaan pada prinsipnya bersetuju supaya MAFI berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani untuk pertanian.
“Ia (perbincangan dengan kerajaan negeri) agar dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan bagi mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, terdapat tiga kertas yang telah dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia.
Katanya, mesyuarat bersetuju agar semua kertas tersebut dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara.
Katanya, mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan (MOF) dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.
“Melangkah kehadapan, kita berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.