fbpx

Skuad futsal negara waspada ancaman Thailand, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHUN YONG (tengah) memantau sesi latihan skuad negara menjelang aksi Kejohanan Futsal AFF di Bangkok, Thailand pada minggu depan.

KETUA jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong mahu pasukannya berwaspada de­ngan ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan Thailand dan Indonesia menjelang aksi Kejohanan Futsal AFF yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada minggu depan.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei dengan tiga pasukan terbaik kejohanan bakal mara ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan.

Kata Chun Yong, amaran awal kepada barisan pemain agar bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya berhasrat untuk meloloskan diri ke pe­ringkat separuh akhir nanti.

“Di atas kertas, kita dapat lihat pasukan seperti Thailand dan Indonesia memiliki kele­bihan kerana barisan pemain mereka sudah melakukan persediaan untuk tempoh yang lama.

“Malah, jika dibandingkan dengan liga futsal anjuran negara mereka juga berlangsung untuk tempoh lama hingga enam bulan berbanding MPFL (Liga Futsal Premier) yang ­hanya berjalan selama dua hingga tiga bulan.

“Saya akan mengingatkan agar pemain bersedia sepenuhnya terutama dari segi mental dan fizikal agar boleh ber­saing sama hebat dengan pasukan lawan,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! baru-baru ini.

Daripada 20 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat sejak minggu lalu, hanya 16 pemain akan dibawa ke Bangkok pada Sabtu ini bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula pada 2 April.

Mengulas lanjut, Chun Yong juga mahu menjadikan kejohanan berprestij Asia Tenggara ini dijadikan sebagai medan pemanas badan buat pasukan sebelum mengharungi temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.

“Sudah tentu kejohanan ini adalah platform terbaik untuk pasukan membuktikan kerana kita akan mengharungi temasya Sukan SEA pula pada Mei nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI