fbpx

Peluang Harimau Kumbang ke Liga Super cerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Pulau Pinang meraikan gol pertama Khairu Azrin (dua dari kiri) ketika menentang JDT II dalam aksi Liga Premier di Larkin pada Sabtu lalu. - FB PENANG FA

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang kini berada dalam keadaan selesa untuk melayakkan diri ke kancah Liga Super musim depan sebagai dua pasukan terbaik daripada saingan Liga Premier.

Kemenangan bermakna 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu lalu membolehkan skuad Harimau Kumbang kekal menerajui carta Liga Premier ketika ini.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira mengakui, tiga mata berharga itu memberikan tonik terbaik buat skuad bimbingannya dalam misi menjamin slot ke pentas Liga Super musim depan.

“Ini adalah tiga mata berharga diraih ke atas lawan yang hebat. Ia secara tidak langsung mencetus semangat tinggi dalam kalangan pemain memandangkan saingan musim ini cuma berbaki empat perlawanan lagi.

“Kami perlu memastikan segala perancangan dan taktikal menjadi supaya tiga mata seterusnya dapat dicari bagi menjarakkan perbezaan jaringan dan mata dengan pasukan lawan,” katanya.

DOS SANTOS muncul wira apabila jaringannya pada hujung separuh masa pertama menghadiahkan kemenangan buat Pulau Pinang. – FB PENANG FA

Dalam aksi itu, Muhammad Khairu Azrin Khazali meletakkan Pulau Pinang di hadapan seawal minit keempat sebelum Feroz Baharuddin menyamakan kedudukan buat JDT II pada minit ke-30.

Skuad Harimau Kumbang mengesahkan tiga mata selepas meraih gol kedua melalui Endrick Dos Santos seminit sebelum tamat separuh masa pertama yang seterusnya menjadi jaringan kemenangan buat mereka.

Pulau Pinang berpeluang melebarkan penguasaan mereka sebagai pendahulu Liga Premier jika menewaskan pencabar terdekat di tempat kedua, Kuala Lumpur pada aksi seterusnya di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI