JIKA ditanya kepada pelajar sekolah, apa impian besar yang ingin dicapai jika mampu merealisasikan cita-cita bergelar pemain bola sepak, jawapannya sudah pasti hanya satu iaitu untuk mewakili Harimau Malaya.
Begitu juga buat pemain ketika zaman era sebelum profesional, dipanggil untuk mewakili pasukan negara di pertandingan atau pun perlawanan antarabangsa menjadi peluang yang begitu sukar untuk ditolak.
Selain kejayaan yang mampu dijelmakan, kesungguhan dan komitmen dipamerkan pemain terdahulu nyata menjadi cerita yang tidak pernah luput dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Tidak hairanlah jika ada nama ‘orang lama’ masih segar dalam ingatan peminat zaman sekarang sehingga menjadi sejarah hebat, buah mulut dan rujukan kepada pelopor sukan ini.
Sebut saja nama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan beberapa lagi legenda negara, pasti ramai generasi milenium pernah terbaca atau pun dengar cerita hebat figura berkenaan.
Sebaliknya sekarang, sudah ada ‘bunga-bunga’ panggilan kebangsaan bukan lagi menjadi klimaks kepada karier seseorang pemain.
Peruntukan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan jika ada mana-mana pemain terpilih tidak hadir ke sesi latihan pusat Harimau Malaya pada tempoh rehat antarabangsa dalam kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh dikenakan hukuman penggantungan perlawanan domestik dan denda RM25,000.
Bagi bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir, pemain perlu ada rasa tanggungjawab terhadap negara.
“Saya rasa memang itu sepatutnya (hukuman kepada pemain). Sebagai pemain kita terikat dengan peraturan tetapi jika ada hukuman diberikan, ia perlulah dibuat secara sama rata.
“Jangan hanya senyap bila dipanggil, tolong jadi gentlemen kerana kalau terus diam, seolah-olah tidak ada tanggungjawab.
“Kita tahu aksi antarabangsa adalah berbeza dengan aksi domestik. Kalau rasa tidak mampu lagi bermain di peringkat antarabangsa, umumkan terus persaraan daripada pentas antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Rizal Ghazali cetus persoalan kerana menolak pelawaan sertai Harimau Malaya tanpa sebarang alasan kukuh, namun selepas beberapa hari, FAM sudah pun terima surat daripada pertahanan Sabah FC berkenaan dengan alasan kesihatan bapanya yang kurang sihat.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar menjelaskan pemain yang gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat tanpa alasan kukuh berdepan tindakan dan pengecualian hanya boleh dibuat jika badan induk itu menerima surat rasmi.
Hakikatnya, asas yang diutarakan oleh Jamal nyata masuk akal kerana tindakan ‘kunci mulut’ hanya akan beri kesan buruk kepada pemain terbabit.
Malah Jamal merasakan apa yang berlaku seakan-akan tidak menggambarkan sikap profesional dan jelas berbeza berbanding dengan pemain di Eropah.
“Kalau hanya mahu main untuk kelab sahaja, di mana patriotikya?
“Pemain Eropah walaupun sudah profesional, mereka masih mahu bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
Pada panggilan skuad kebangsaan kali ini, pujian juga wajar diberikan oleh bintang Johor Darul Ta’zim, Safiq Rahim yang kekal dengan keinginan wakili Harimau Malaya.
Apa pun, tahniah kepada mereka yang kekal komited sertai pasukan Harimau Malaya dan buat pengendali negara, Kim Pan-gon, selamat menjalankan amanah besar untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia khususnya di pentas bola sepak antarabangsa.