MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba hampir pasti meninggalkan Old Trafford penghujung musim ini selepas menyifatkan musim mereka sudah ‘mati’ dan tempoh lima tahun bersama pasukan itu tidak memuaskan keinginannya.
Pogba bakal menjadi ejen bebas apabila kontraknya bakal berakhir 30 Jun ini dan masih belum membuat keputusan mengenai destinasi baharu biarpun dikaitkan dengan Paris Saint-Germain, Juventus dan Real Madrid.
United bakal menamatkan musim ini buat kali kelima berturut-turut tanpa sebarang kejuaraan selepas kali terakhir menjulang Liga Europa pada 2017 menyebabkan Pogba berpendapat bahawa dia mahu beraksi untuk pasukan yang mampu meraih kejuaraan.
“Anda perlu menjadi lebih jujur. Sejak lima tahun lalu, ia tidak begitu memuaskan hati saya.
“Musim ini juga kami telah ‘mati’. Kami gagal memenangi sebarang trofi,” katanya.
Dalam pada itu, Pogba turut mendedahkan bahawa dia diberi peranan yang lebih baik bersama pasukan Perancis menyebabkan aksinya lebih berkesan berbanding di United.
“Ia mudah, saya diberikan posisi sebenar bersama Perancis. Saya memahami peranan dan merasai keyakinan diberikan oleh jurulatih dan rakan sepasukan.
“Di United sukar untuk mengekalkan konsistensi apabila posisi anda kerap bertukar selain sistem permainan yang berbeza-beza serta rakan sepasukan yang kerap kali bersilih ganti.
“Adakah anda melihat saya mempunyai peranan bersama United? Saya bertanyakan soalan ini tanpa saya sendiri ada jawapannya,” jelasnya. – AGENSI