LIVERPOOL – Juventus dilaporkan bersedia dengan tawaran mega untuk bintang Liverpool, Mohamed Salah bagi memancing pemain itu untuk menyertai mereka di Turin pada musim panas nanti.
Pemain antarabangsa Mesir itu bakal memasuki tahun terakhir kontraknya yang akan tamat pada Jun 2023 dan rundingan kontrak baharu bersama kelab itu dikatakan masih belum menemui kata putus.
Juventus terdesak untuk mendapatkan Salah selepas mereka hampir pasti kehilangan penggempur utama, Paulo Dybala selepas perbincangan mengenai perjanjian baharu gagal dimeterai.
Pemergian Dybala dan penghijrahan Cristiano Ronaldo musim lalu menyaksikan Juventus berjaya mengimbangi perbelanjaan mereka dan memiliki lebihan dana serta berkemampuan untuk memenuhi segala permintaan Salah.
The Old Lady dilaporkan bersedia menawarkan pendapatan sebanyak £10 juta (RM55.78 juta) semusim kepada pemain berusia 29 tahun itu dengan kontrak selama empat tahun.
Bagaimanapun, Juventus akan berdepan cabaran untuk memujuk Liverpool untuk melepaskan Salah pada harga yang berpatutan ketika kelab itu pastinya mahukan nilai yang lebih sepadan dengan prestasi dipamerkan pemain itu.
Salah sebelum ini didakwa meminta gaji mingguan sebanyak £400,000 (RM2.23 juta) untuk memastikan dia menandatangani kontrak baharu di Anfield menyebabkan rundingan tersebut tergantung.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendakwa rundingan berkenaan masih berjalan tetapi laporan menyebut bahawa tidak ada perbincangan dijalankan sehingga kini sejak Disember tahun lalu. – AGENSI