KUALA SELANGOR – Seorang lelaki diselubungi kerisauan apabila isteri dan dua anaknya diserang penyakit otak mengecut secara tiba-tiba hingga mengakibatkannya terpaksa membahagikan masa antara bekerja dan menjaga mereka di Kampung Tambak Jawa di sini.
Mokhtar Parman, 58, berkata, isterinya, Aziah Yakob, 55, hanya mampu terlantar di atas katil selepas menghidap penyakit itu sejak 10 tahun lalu.
Katanya, masalah datang berganda apabila anak lelakinya, Mohd. Herdy Johan, 33, dan anak perempuannya, Emmy Roshaida, 35, turut menghidap penyakit yang sama.
“Sebaik diserang penyakit itu, isteri tidak mampu bergerak dan terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu makmal sekolah.
“Isteri saya pernah sembuh untuk seketika ketika menerima rawatan tradisional di Muar, Johor sebelum kembali terlantar. Hasil diagnosis hospital menunjukkan dia mengalami pengecutan otak,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Mokhtar menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.
Menurut Mokhtar, doktor memaklumkan hanya penyakit isteri dan anaknya tiada ubat dan hanya keajaiban yang boleh membuatkan mereka sembuh.
Tambah kakitangan sokongan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar itu, dia langsung tidak menduga penyakit itu akan menyerang dua anaknya yang mana Mohd. Herdy terpaksa berkerusi roda dan tinggal bersamanya.
“Emmy Roshaida pula berada pada fasa awal penyakit tersebut kini tinggal berasingan di Pandamaran, Klang.
“Saya pun tidak tahu apa punca penyakit tersebut kerana serangannya berlaku tanpa sebarang tanda awal. Sudah tentu, harapan saya melihat mereka kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Ujar Mokhtar, dia sedang menunggu permohonan bantuan zakat yang akan digunakan untuk membeli barangan keperluan buat isteri dan anaknya.
“Isteri menggunakan lampin pakai buang dengan kos RM200 sebulan, manakala Mohd. Herdy memerlukan kerusi roda baharu,” katanya.
Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mokhtar di talian 010-434 9879.