PUTRAJAYA – Pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tidak mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang boleh memohon kebenaran untuk memasuki negara.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemohon yang dibenarkan adalah isteri, suami dan anak kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
Beliau berkata, suami atau isteri warganegara asing pula mestilah telah berkahwin secara sah dengan perkahwinan itu didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri serta Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Luar Negara.
“Kemudahan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan pada 25 Ogos lalu.
“Mereka diwajibkan untuk terus memohon Pas Lawatan Jangka Panjang setelah selesai proses kuarantin wajib seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, pemohon perlu membuat permohonan melalui emel [email protected].
“Permohonan ini akan diproses serta dibawa ke mesyuarat Task Force Kemasukan Warga Asing ke Malaysia bagi penilaian sebelum kebenaran masuk diberikan,” katanya.
Tambah Khairul Dzaimee, hanya pemohon dari negara-negara yang dibenarkan masuk sahaja akan diproses dan dipertimbangkan kebenaran masuk.
“Bagi negara-negara yang dikenakan sekatan kebenaran masuk, permohonan kebenaran masuk tidak akan dipertimbangkan sehingga ada satu keputusan baharu menarik balik sekatan kebenaran masuk bagi negara-negara tersebut,” katanya. – K! ONLINE