fbpx

Seikhlas Hati tema Ramadan Raya Media Prima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA naskhah menarik yang akan menemui penonton sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

MASIH memegang erat elemen kasih sayang, hormat, ikhlas dan membantu seperti disemai dalam kempen terdahulu, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) melancarkan kempen Ramadan Raya 2022 dengan bertemakan Seikhlas Hati.

Pelancaran kempen membabitkan dua saluran utama iaitu TV3 dan TV9 tersebut dibuat menerusi siaran langsung program Melodi yang dihoskan Nabila Huda dan Haziq Hussni Ahad lalu.

Selain menyemarakkan kempen Ramadan Raya, tema Seikhlas Hati dipilih sebagai peringatan untuk semua pihak agar bersyukur dan reda dengan ujian yang dihadapi banyak pihak ketika ini.

“Tema ini ibarat suatu peringatan kepada kita agar sentiasa bersyukur dan reda dengan ujian dihadapi. Setiap ujian itu menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

“Ramadan adalah bulan untuk kita meningkatkan amal ibadat dan memperoleh pelbagai ganjaran dengan sentiasa bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan,” memetik kenyataan pihak MPTN.

DRAMA Mem & Bibik-Bibik lakonan Rozita Che Wan, Zain Saidin dan Nabila Razali merupakan salah sebuah naskhah dalam kempen Ramadan Raya MPTN 2022.

Majlis pelancaran kempen Ramadan Raya 2022 dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti popular tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor, Sharifah Rose, Fedtri Yahya, Mark Adam, Aprena Manrose, Yana Samsudin, Fadzil Zahari dan Kim Hassan.

Seiring tema diketengahkan, TV3 dan TV9 menjanjikan sajian program yang bukan sahaja memberi hiburan, malah, informasi dan pengisian berkonsep kerohanian.

Masih kekal sebagai program yang ditunggu-tunggu, TV3 membuka tirai Ramadan dengan tayangan program travelog popular, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul II.

Pengacaranya, Ahmad Fedtri Yahya membawa penonton ke era Tanah Melayu, menyaksikan Raja-Raja Melayu dikuasai imperialis Inggeris dan pemimpin alim ulama sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan serta maruah agama dan bangsa.

AHMAD FEDTRI membawakan Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul II pada Ramadan ini.

Turut disiarkan adalah program Tanyalah Ustaz Seikhlas Hati yang antara lain memaparkan kompilasi episod terbaik termasuk perkongsian menarik mengenai amalan hebat oleh Dai Haziq dan Jalal Zaki.

Program bual bicara yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan iaitu Sembang Sahur diteruskan bersama empat hos popular iaitu Haziq Hussni, Fatin Hamimah, Fadzly Fuad dan Dayah Bakar.

Tidak setakat di situ, peminat drama pula TV3 menyajikan barisan drama rantaian popular seperti 7 Hari Mencintaiku 3, Do You Love Me, Captain?, Khilaf Asmara, Menanti Mek Barber dan Mem & Bibik-Bibik.

Sesuai dengan ‘mood’ Ramadan yang terkenal dengan pesta juadah, penonton disajikan tiga program menarik iaitu Pesan Makan yang dikendalikan Izzue Islam dan Fizo Omar; Jalan-Jalan Cari Makan serta Apa Nak Masak Ni yang menyaksikan selebriti popular berkongsi resipi juadah berbuka puasa.

Hiburan diteruskan dengan program Akustika Ramadan, musim baharu sitkom, Pak Kodi 5G serta animasi Papa Zola.

DRAMA 30 Hari Sebelum Raya merupakan salah tarikan buat penonton TV9.

Sementara itu, menerusi TV9, penonton dibawa mengupas isu yang pernah tular dan dibahaskan dengan penuh ilmu mengikut perspektif Islam menerusi program Sembang Viral Mega kendalian Rosyam.

Program lain yang turut mengisi saluran berkenaan adalah Jalan-Jalan Ramadan yang mengisahkan pengembaraan menarik Harris Alif di serata negeri seluruh Malaysia untuk mempelajari tradisi dan keunikan kebudayaan di kampung yang dijelajahi.

Turut disajikan adalah program Pandai Masak Ke Tu? iaitu pertandingan memasak yang disertai selebriti popular seperti Ara Johari, Khai Bahar, Wany Hasrita, Nabila Razali, Noki K-Clique dan dihoskan oleh Amy Mastura serta ditemani juri Datuk Cef Ismail dan Yatie Kitchen.

Dua drama iaitu 30 Hari Sebelum Raya dan Jiwa Wanita juga menjadi antara tarikan TV9 termasuk empat telefilem bertema Ramadan bakal menemui penonton iaitu Ramadan Tunggu Aku Datang, Seutas Tasbih Dari Madu, Calon Bini Pak Bilal dan Mengejar Lailatul Qadar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI