TUMPAT – Rakyat Kelantan tidak digalakkan untuk melintasi sempadan ke negara Thailand jika tiada keperluan penting selepas negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagaimanapun, mereka yang mempunyai urusan penting melibatkan perniagaan boleh berkira-kira untuk ke negara berkenaan pada bulan depan.
“Nasihat saya kepada rakyat Kelantan, elakkan ke sana (Thailand) jika tiada keperluan. Sekiranya ada urusan penting atau melibatkan perniagaan, ia tiada masalah.
“Sehubungan itu, kita juga sentiasa mendapat perkembangan semasa mengenai kes Covid-19 daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas merasmikan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, beliau berharap rakyat Kelantan sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan meskipun negara sudah memasuki fasa endemik.
Dalam perkembangan lain, menurutnya, menjelang bulan Ramadan, beliau menasihatkan orang ramai tidak berada di satu-satu tempat selepas menunaikan solat terawih. – KOSMO! ONLINE.