fbpx

Empat lori terbakar dipercayai angkara khianat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran empat buah lori dingin beku dalam kejadian di Menglembu, Ipoh awal pagi tadi.

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Empat buah lori dingin beku yang diparkir di sebuah kedai dua tingkat di Menglembu di sini yang terbakar awal pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, empat buah lori muatan satu tan itu terbakar dalam kejadian pada pukul 4 pagi.

Katanya, siasatan mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan membekal dan menjual telur ayam sejak 23 tahun lalu.

“Rakaman percakapan ke atas pemilik premis berusia 49 tahun itu mendakwa tidak pernah membuat laporan polis berkenaan apa-apa ugutan ah long atau berhutang dengan sesiapa.

“Bagaimanapun, dia ada memaklumkan menerima amaran daripada kawannya, ‘awak jaga sikit, ada orang mahu bakar awak punya lori’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, lelaki itu tidak mengesyaki sesiapa dan tiada saksi bebas dalam kejadian kebakaran itu.

Katanya, kali terakhir lelaki terbabit melihat kesemua lori itu pada 4.30 petang semalam dan kenderaan berkenaan dalam keadaan baik dan berkunci.

“Lelaki itu memberitahu lokasi kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) namun belum melihat rakaman berkenaan dan berjanji akan menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya.

Tambah beliau, laporan awal pihak bomba menyatakan empat buah lori itu terbakar 70 peratus di bahagian hadapan dan belakang dengan hipotesis awal adalah sengaja bakar.

“Anggaran kerugian sebanyak RM190,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI